Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amos 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Malangnya orang yang hidup bersenang-senang

1Malangnya orang yang hidup bersenang-senang di Sion

dan mereka yang berasa selamat di Gunung Samaria,

iaitu orang terkemuka daripada bangsa yang terutama itu.

Kepimpinan mereka ini amat diharapkan oleh keturunan kaum Israel.

2Menyeberanglah kamu ke Kalne dan tengoklah.

Pergilah dari sana ke Hamat yang besar itu dan turunlah ke Gat, negeri orang Filistin.

Adakah mereka lebih baik daripada kerajaan-kerajaan ini?

Adakah daerah mereka lebih besar daripada daerahmu?

3Wahai kamu yang menganggap hari malapetaka masih jauh

dan mendekatkan pemerintahan berunsur keganasan,

4yang berbaring di atas katil bertatahkan gading

dan menggeliat di atas ranjang mereka,

yang memakan anak-anak domba daripada kawanan domba

dan anak-anak lembu tambun dari dalam kandang;

5wahai kamu yang bersenandung seiring bunyi gambus

dan menciptakan alat-alat muzik seperti Daud,

6yang meminum air anggur daripada bokor-bokor persembahan

dan mengurapi diri dengan minyak yang terbaik

tetapi tidak bersedih kerana kehancuran keturunan Yusuf.

7Maka kini, mereka akan menjadi kalangan yang mula-mula dibuang.

Keriuhan pesta kalangan yang menggeliat di ranjang itu akan tamat.

8Tuhan Allah telah bersumpah demi diri-Nya, demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta: "Aku amat membenci keangkuhan Yakub dan Aku membenci puri-purinya.

Akan Kuserahkan kota itu berserta segala isinya."

9Nanti, jika tertinggal sepuluh orang dalam sebuah rumah, mereka pun akan mati. 10Seorang kerabat yang harus membakar mayat akan mengangkat dan mengeluarkan mayat itu dari rumah. Lalu dia akan bertanya kepada orang yang ada di bahagian belakang rumah, "Masih adakah orang yang bersamamu?" dan akan dijawab, "Tidak ada." Lalu dia akan berkata, "Diam! Tidak patut kita sebut nama Tuhan." 11Sesungguhnya, jika Tuhan memberikan perintah,

maka akan dirobohkan-Nya rumah yang besar menjadi reruntuhan

dan rumah yang kecil menjadi cebisan kepingan.

12Adakah kuda berlari di atas bukit batu?

Adakah orang membajak di situ dengan lembu?

Akan tetapi, kamu telah mengubah keadilan kepada racun

dan buah yang benari kepada kepahitan –

13wahai kamu yang bergembira atas Lodebar, yang berkata,

"Bukankah kami merebut Karnaim dengan kekuatan kami sendiri?"

14"Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan suatu bangsa untuk melawan kamu,

wahai keturunan kaum Israel"

demikianlah firman Tuhan, Allah alam semesta.

"Mereka akan menindas kamu dari jalan masuk Hamat sampai sungai di Araba."